Penduduk Pangsapuri Aman menderita
PUCHONG - Kira-kira 4,000 penduduk di Pangsapuri Aman, Taman Puchong Prima di sini merayu pihak bertanggungjawab agar segera menyelesaikan masalah mereka yang sentiasa berhadapan dengan kerosakan lif, bekalan air yang dipotong dan sampah yang tidak dikutip.
Menurut penghuni, mereka kini hidup dalam keadaan tertekan apabila pemaju, pihak berkuasa tempatan dan jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) hanya saling menuding jari tanpa sebarang jalan penyelesaian.
Wakil penduduk E. Suresh mendakwa, sejak tinggal di situ pada 2008 sehingga kini, lebih enam kali empat buah lif yang ada di pangsapuri sembilan tingkat itu rosak.
Katanya, kes terbaharu berlaku sejak Mei lalu apabila semua lif di situ rosak tanpa sebarang tindakan daripada mana-mana pihak.
"Kami tidak pernah gagal membayar wang penyelenggaraan RM80 sebulan tetapi JMB yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tidak menyelesaikan masalah ini.
"Masalah paling besar ialah kepada wanita mengandung dan orang tua yang sakit kerana mereka terpaksa turun naik tangga setiap hari untuk urusan harian," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Suresh berkata, dalam kejadian baru-baru ini, seorang penduduk yang diserang sakit jantung meninggal dunia sebelum sempat dibawa hospital kerana sukar untuk turun dari rumahnya di tingkat sembilan.
M. Paanjalee, 45, pula mendakwa dia turut berdepan masalah mendapatkan rawatan susulan untuk suaminya yang lumpuh ekoran kerosakan lif.
Selain itu, katanya, bekalan air yang kerap dipotong oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) juga telah menyukarkan mereka untuk menguruskan aktiviti harian.
"Pada 31 Ogos lalu, bekalan air dipotong selama empat hari ekoran hutang JMB kepada Syabas berjumlah RM196,000," keluhnya.
Sementara itu, E. Vikneswary, 28, bimbang dengan longgokan sampah yang melimpah dan bersepah kerana kegagalan pengurusan membersihkan sampah di kawasan itu.
Sumber laporan akhbar Kosmo.
Sumber laporan akhbar Kosmo.
0 comments:
Post a Comment